Tuesday, December 12, 2023

karya pincang

Melodi hati,
menyusun bicara pasti,
menuntut janji.

Irama jiwa,
mencari penawar duka,
biar tiada lagi tangisan sukma.

Rentak nada,
mengungkit firasat,
ikrar keramat.

hujung tangan beruas,
menari sumbang diatas kekunci,
melahir kata, tanpa rasa
menrangkap kalimat tanpa niat.
melanggar adat.


АюАщраф

Monday, December 11, 2023

serabut serat semalam

aku dan malam,
akrab dan rapat.

aku dan kelam,
tumpat dan padat.

aku dan gelita,
suram dan walang.

andai ada yang mengerti,
sudi. 
jika ada yang mafhum,
faham.
misal ada yang menangkap,
lara. 

aku jadi ringgan,
bebas dari serat ingatan,
laju, membebas selirat fikiran,
merdeka, dari tuntutan semalam.

hitam lazuardi jadi sakti,
keramat kata hati,
biar tidak ada sedu,
biar tidak ada pilu. 




Friday, December 8, 2023

hari duka

hari duka,
menguris deria.

memberi satu tanda,
semalam yang berlalu,
seperti tiada erti,
kau seperti pujangga tanpa puisi,
hanyut dalam gelora malam,
lemas dalam nafas sendiri,
bingit jadi bisu,
kata jadi tuli,
aku, jadi sepi.

tulah kelmarin,
ternyata membunuh hari ini. 

Thursday, December 7, 2023

terang dan nyata

walau sudah aku kira,
masih sakit terasa,

walau sudah aku hitung,
tetap terhiris  luka.

andai ini aturannya,
aku redha.

andai ini suratannya,
aku rela.

seteguh karang awanis,
jadi idaman.
istiqomah azwan,
jadi panduan.
sekuat mek nah,
membelah gelombang.

aku pinjam jiwa mereka,
untuk terus mara,
kerana esok masih ada.

kesat tangismu,
padam kesalmu,
terus melangkah, 
melakar impian
kerna angan itu bukan mimpi,
tapi pasti.  

seperti namamu,
cahaya kejayaan itu terang dan nyata.
jangan pernah kau lupa.

Wednesday, November 8, 2023

Terbang

Mendung hari ini, gerimis.
Membawa getar rasa,
Mengusik deria.

Sebaya tapi tidak seusia,
Engkau dewasa sudah lama,
Meninggalkan semalam dalam remaja.

Salam  dua, enam, tiga.
Ruang renggang masa,
Sejahtera,Sentosa.
Ku titip doa.

Pada ketitir ku kirim layang,
Biar sampai pada tuhan,
Semoga engkau terus gah terbilang,
Terbang megawan alam..

Pada bayang, aku pesan,
Salam.
Pada kelmarin, aku kirim,
Ungkapan.
Selamat ulang tahun Semalam. 

Wednesday, October 18, 2023

Manifestasi pincang

Innuendo hati,
Menjadi gelombang hitam yang menutup rasa,
Menadi saksi , melihat jiwa jadi bebal,
Kebal dengan derita.

Ini janji manifestasi diri,
Pincang.
Sumbang.

Walau lemas  dalam gelora jiwa,
Menanti kegagalan 
Yang bakal mengetuknpintu esok,
Bersama jiwa yang berkecamuk,
Bersalut noda dusta,
Aku cuba.
Untuk terus setia, 
Menyusun bebal bengap benak,
Menjeruk jiwa sukma,
Tetap menanti, 
Kurnia. 

Thursday, September 21, 2023

Khilaf naluri

Menyimpam mimpi semalam, 
Semoga terus mekar segar, 
Seperti embum pagi,
Dingin, menyentuh hati.

Sendiri mengenang jiwa.

Aku mengubat luka,
Biar tidak sendiri,
Tidak sepi.

Dalam mengejar mimpi ,
Aku tersesat dalam perjalanan,
Terleka dengan tuhan,
Tu’lah menanti kekhilafan.

Aku manusia yang kenal tuhan,
Tapi masih bersandar pada hati,
Jadi hamba yang berhaka,
Mengikut naluri. 

Maafkan aku,
Kerana menjadi manusia pendosa,
Semoga masih mampu,
Kembali kepada fitrah,
Untuk aku berserah.

АюАщраф

Sunday, September 17, 2023

mata

melihat dunia dari mata,
membuat aku lebih tertanya-tanya,
mengapa. 

melihat dunia dari kisah kelmarin,
membuat aku lebih mengira-ngira,
semalam.

melihat dunia dari kaca fatamorgana,
membuat aku lebih mengayam-ngayam,
impian.

lantas membentuk, 
satu jalan ,
payah untuk aku susuri.

terus membentuk,
satu landasan,
perih untuk aku lewati.

lansung menjadi,
satu tembok,
tinggi untuk aku daki.

aku jadi penat sendiri,
jerih, letih. 
tiada lagi kekuatan pada daya akal,
tiada lagi sasa pada jisim jasad,
terkapai,
seperti tiada nadi,
umpama tiada erti.





Tuesday, August 22, 2023

cukup detik ini

hari ini,
aku diusik semalam.

hari ini,
aku disentuh kenangan.

entah mengapa, 
batin ini,
terus mengorek ingatan,
seperti Jebat yang derhaka,
mungkin kerana dia,
Tuah yang setia.

maafkanlah,
setiap detik rasa,
biar semalam terus cundang,
kalah dengan takdir,
yang menyusun perjalanan.

jagakan detikkan hati,
biar tidak curang pada realiti,
lemas dalam kisah kelmarin,
memenuhi rongga tenggorok,
tanpa ada ruang,
tanpa peluang.

cukup.
tamatkan hingga disini,
jangan dijentik lagi.


bayu

Sunday, June 18, 2023

gugusan bintang semalam

melihat mereka, 
menjentik rasa bayangan semalam,
terkenang kisah yang berkali aku padam,
membuka cerita yang aku tanam semalam,
mekar kembang,
tidak pernah hilang.
membuat aku menyoal setiap yang berlalu,
adakah perlu?

walau berkali aku sanggah,
acap aku bantah,
entah mengapa aku seperti sesat dalam mimpi,
masih mencari,
tetap menanti.

engkau seperti bintang lestari,
gugusan yang jadi penunjuk si pengembara laut,
pilihan ketika gelap malam yang larut,
bersinar membawa kehendak hasrat. 

maafkan aku duhai hati,
terus meratip semalam,
walau disulam duka,
dianyam lara,
ternyata aku lupa,
perlu tanam rasa cinta,
pada diri,
paada hati,
biar padam segala iri.
biar bintang itu pergi...


bayu

Sunday, February 19, 2023

Hari Aku

Menghitung detik waktu yang berlalu, 
Aku jadi jaguh.

Mengira rasa semalam,
Aku makin ampuh.

Hari ini,
Bukan kelmarin,
Berbeda dengan jiwa yang semalam,
Tidak serupa… purnama yang berlalu.

Walau berbaki hanya sisa usia,
Yang mengiringi lewat masa,
Waktu yang mematang,
Ranum… mendewasa.

Aku lebih celik kini,
Ternyata aku bukan paksi,
Hanya sebutir bintang cakerawala,
Yang hanya mengikut fitrahNya,
Tetap cerah,bercahaya
Seperti kejayaan yang terang dan nyata. 

Salam ulang tahun,
Ku titip buatmu,
Semoga kau diberi ruh yang baru,
Terus mengukir mimpi,
Jangan pernah kau berhenti,
Selagi kau berikrar pada janji,
Terus terpasak tiang seri.

Tidak gentar aral rintangan,
Biarpun dalam curam dataran,
Meski agung rabung banjaran,
Tetap maju mengengam impian.

Kerana sumpah sudah bersaksi,
Tidak ingin aku,  menjadi darah  setampuk pinang,
Yang gugur di sempadan.


 


Thursday, February 9, 2023

Mengukur rasa

Ada ketika,
Ku merasa seperti ada yang tak kena,
Hubungan ini seperti tiada jiwa,
Tiada ruh yang mengikatnya,
Membuat aku tertanya-tanya,
Masihkah ada esok untuk kita.

Persoalan yang berlegar,
Masih tiada balasan,
Tetap terawang.
Seperti fatamorgana yang melemaskan,
Membuat aku sesak di tengah dataran,
Terkapai tanpa pautan.

Detik ini, 
Aku masih disini,
Merawat dan memujuk hati,
Biar tidak terus sepi,
Biar tidak lelah, lemah sendiri.

Kepada tuhan, ku kirim doa dan harapan,
Biar diberi kekuatan,
Untuk tetap setia pada janji semalam,
Patih pada akad yang mengikat,
Menghalau pergi bisikan hati,
Tetap teguh emosi.


bayu,